Pakaian Tradisional Melayu-Baju Kurung dan Baju Melayu

BAJU KURUNG
Baju kurung merupakan pakaian tradisi masyarakat Melayu dan dipakai oleh perempuan dan lelaki. Perbezaannya terletak di bahagian kocek, iaitu lelaki mempunyai tiga kocek manakala perempuan mempunyai satu kocek. Namun begitu, isitilah baju kurung lebih sinonim dengan kaum perempuan manakala baju Melayu dikhaskan untuk lelaki.
Penggunaan perkataan 'kurung' itu sendiri membawa maksud 'mengurung atau menutup' anggota tubuh. Jadi pakaian ini sangat menepati konsep pakaian cara Melayu selepas kedatangan Islam. Istilah 'baju kurung' diertikan sebagai baju yang selesa dan longgar, labuh serta panjang.


Baju Kurung Teluk Belanga



Baju kurung Teluk Belanga juga dikenal sebagai baju kurung Johor. Berdasarkan sejarah, baju ini dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura sekitar tahun 1800-an.

Baju kurung Teluk Belanga adalah labuh dan potongannya longgar kerana bahagian di rusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan belahan diletakkan di bahagian hadapan. Di sekeliling bahagian tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut dikenakan bagi mengemas dan memperkukuhkan jahitan di bahagian leher.

Baju kurung Teluk Belanga dijahit labuh hingga ke paras lutut dengan satu poket di sisi ataupun tanpa poket. Ia juga dipadankan dengan kain sama ada kain batik, kain songket atau sutera. Kain ini diikat dengan ikatan bernama ‘ombak mengaluri’ iaitu lipatan-lipatan yang terletak di bahagian rusuk kanan atau kiri.

Baju Kurung Cekak Musang


 Baju kurung Cekak Musang adalah serupa dengan Baju kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya sahaja. Leher baju jenis ini mempunyai kolar. Kolar tersebut dijahit selebar satu jari dan kedudukannya adalah dalam keadaan menegak. Bukaan panjang yang berkancing diletakkan di hadapan bahagian kolar. Kebiasaannya, satu kancing diletakkan di kolar manakala dua atau tiga kancing diletakkan pada bukaannya. Baju kurung Cekak Musang boleh dipakai sama ada dengan seluar atau kain sarung


Baju Kurung Kedah

Baju kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thailand. Baju ini direka berbentuk potongan bujur sireh di bahagian lehernya. Ia dipakai oleh kaum perempuan sebagai pakaian harian di rumah.
Baju kurung Kedah selalunya dperbuat daripada fabrik kapas yang berbunga-bunga kecil ataupun kain nipis yang jarang dan keras. Pakaian ini sesuai dipadankan dengan kain batik sarung atau kain pelikat.


Baju Melayu
Baju Melayu adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki Melayu. Baju Melayu terdiri daripada dua bahagian penting, iaitu bahagian baju (berlengan panjang) dan bahagian seluar. Kedua-dua bahagian ini diperbuat daripada fabrik yang sama. Kebiasaannya, baju Melayu menggunakan fabrik kapas atau campuran polyester dan kapas.

Terdapat dua jenis baju Melayu yang biasa dipakai oleh golongan lelaki, iaitu baju Melayu Teluk Belanga dan Baju Melayu Cekak Musang. Baju Melayu Teluk Belanga lebih sinonim dengan masyarakat Melayu di selatan Malaysia sementara baju Melayu Cekak Musang lebih terkenal di kawasan tengah dan utara Malaysia.

            Perbezaan kedua-dua jenis baju Melayu ini adalah dari segi cara jahitan pada leher baju tersebut. Bagi baju Melayu Cekak Musang, potongan lehernya seperti leher baju masyarakat India, iaitu bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Sementara, potongan leher baju Melayu Teluk Belanga pula dijahit secara sulaman. Terdapat pelbagai bentuk sulaman yang dipadankan di leher baju ini seperti jahitan mata lalat dan jahitan tulang belut.

            Baju Melayu tidak lengkap jika tidak dipakai dengan ‘sampin’ (juga dikenal sebagai ‘samping’). Cara memakai sampan bagi kedua-dua jenis baju ini juga berbeza. Bagi baju Melayu Teluk Belanga, sampan akan dipakai di luar baju manakala untuuk baju Melayu Cekak Musang, baju dimasukkan ke dalam sampin.

Baju Melayu biasanya dipakai oleh kaum lelaki semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara dan juga bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Selain itu, ia juga amat sesuai dipakai pada hari raya dan juga majlis-majlis rasmi. Pemakai baju Melayu kelihatan lebih berseri apabila mengenakan sampin dan songkok. Pada acara-acara biasa seperti kenduri-kendara dan sembahyang Jumaat, ia dipakai bersama kain pelikat atau seluar panjang.



Baju Melayu Teluk Belanga

Pada asasnya, baju Melayu Teluk Belanga adalah sama dengan baju kurung Teluk Belanga. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan dari segi ukuran baju tersebut. Baju Melayu Teluk Belanga dijahit labuh separas punggung manakala alas lehernya lebar dan baju jenis ini mempunyai tiga bahagian poket, iaitu di dada kiri serta di bahagian bawah kedua-dua belah baju (kiri dan kanan). Ia biasanya dipakai dengan seluar panjang sama ada seluar Acheh atau seluar panjut.


Baju Melayu Cekak Musang



 Istilah ini berhubung langsung dengan pola lingkaran leher baju, tengkuk ‘cekak’ tinggi atau leher tegak empang leher. Pengertian ‘cekak musang’ merakamkan imej yang direka untuk leher baju yang bercekak tinggi berdiri (2.5 cm) melingkari leher. Ukuran ditentukan oleh lingkaran (bulat) yang dibuat dengan ibu jari lain yang bertemu hujungnya. Baju ini mula dipakai di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar.
            Baju Melayu Cekak Musang biasanya dipakai dengan seluar dan sampin. Aksesori seperti songkok dan tanjak dapat menambahkan kesegakan golongan lelaki yang memakainya.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

KITAR SEMULA!!!